Tika Bidadari Berbisik

APA khabar wahai bidadari milik ALLAH S.W.T? Saya juga hanyalah

insan seperti kalian. Seorang perempuan yang dilahirkan tanpa

keistimewaan, hanya manusia biasa. Namun takdir yang dijalani tidak

serupa seperti kalian. Manusia ini ditakdirkan dengan corak hidup

yang berbezabeza. Meskipun pepohonan akar kita berbeza, insya-

ALLAH di hujung ranting akan bertemu satu jalan yang sama.


Kalian,

Saya tidak bertuah seperti kalian yang dikurniakan ILAHI seorang

suami dan permata-permata soleh dan solehah sebagai pewaris

agama dan keturunan. Sangat cemburu rasa di hati melihat hadiah

ALLAH S.W.T kepada kalian. Namun akhirnya saya meyakini

kebahagiaan kalian di dunia ini adalah berbentuk demikian dan

kebahagiaan yang saya terima adalah dengan cara yang berbeza.

Saya beranggapan positif bahawa TUHAN belum lagi mengurniakan

kebahagiaan mungkin kerana DIA terlalu menyayangi dan sedang

memelihara saya. Mungkin pada suatu masa yang sesuai akan

menyerahkan saya kepada lelaki yang terbaik mengikut pandangan-

NYA. Jika tidak dikurniakan di dunia, mungkin telah disimpan

seseorang untuk saya di syurga kelak. Nantikan sahaja kepulangan

saya di sisi ALLAH S.W.T. Saya pasti akan merona-rona cinta

pemberian-NYA kelak. Alhamdulillah….doa saya semoga kalian

menghargai pemberian TUHAN dan bagi yang seperti saya dapat

mensyukuri apa yang dianugerahkan.

Kalian,

Janganlah memandang serong perempuan seperti kami yakni yang

tidak punya teman berkongsi duka di sisa kehidupan ini. Setiap

manusia dilahirkan berbeza sifat, niat dan perbuatan. Kami pasti

pernah berasa kesunyian dan kesepian. Tentu sekali adakalanya

menitis setitis dua air mata melihat kebahagiaan kalian.Pernah

menerjah di hati, kenapa kami tidak bisa memilikinya? Namun sebibit

iman telah menguatkan kami dan mendidik kami untuk mengenal

maksud redha, tawakal dan “La tahzan” yakni jangan bersedih.

Walaupun kita dilahirkan atas nama perempuan, tetapi ALLAH S.W.T

telah mencipta kita dengan berbeza-beza sifat dan berbeza niat. Ada

perempuan yang sangat mencintai dunia dan akan melakukan apa

sahaja untuk mencapai niat. Ada perempuan yang sekadar ingin

menumpang kasih dan berkongsi tempat mengadu di akhir sisa

kehidupan. Mungkin ada sebahagian perempuan yang tidak sanggup

melihat perempuan lain dilukai malah mungkin juga ada perempuan

yang memilih untuk hidup dan matinya kerana ALLAH S.W.T dan

mencintai Rasulullah s.a.w. Inilah kehidupan! Aneka interpretasi dan

pelbagai corak lakaran kehidupan. Jadi di manakan letaknya diri kita?

Menjadi isteri kepada seorang suami adalah impian setiap wanita.

Apatah lagi, jika dianugerahi kebahagiaan dan kesetiaan yang

berpanjangan. Namun bukan semua wanita memilikinya. Bersabarlah.

Ajarlah hati dengan kesabaran dan sentiasa redha dengan pemberian

ILAHI. Insya-ALLAH hati akan tenang, setenang air di kali...

Hidup di dunia yang serba mencabar ini sangat menakutkan bagi hati

yang tidak kuat. Ada dalam kalangan kita sering berjumpa dengan

orang yang salah. Apakah yang dimaksudkan dengan orang salah?

Iaitu orang yang tidak sesuai dan tidak menepati cita rasa malahan

mungkin juga mereka yang mempunyai niat serong. Inilah kelemahan

manusia, tidak mampu menilai hati seseorang; baik atau sebaliknya.

Juga tidak mampu menapis dan memeriksa niat mereka. Hanya

ALLAH S.W.T sahaja yang mengetahuinya,maka kepada-NYAlah yang

seharusnya menjadi tempat bergantung. Kepada-NYA jualah kita

bertanya, kepada-NYAlah kita menanti jawapannya. Dalam lembut,

ALLAH S.W.T akan menjawab soalan kita. Yakinlah..

Menyakiti hati wanita lain bukanlah suatu perkara yang harus

dibanggakan. Merampas tanpa rela dan merosakkan hubungan wanita

lain hanya untuk kepentingan kebahagiaan diri sendiri juga bukan

sesuatu yang harus dibanggakan. Bahagiakah apabila tidak mendapat

kemaafan daripada mereka yang kita sakiti? Mampukah dibayar

kembali penderitaan yang dihadiahkan kepada kita? Mampukah

menakung kembali air mata yang tumpah kerana kita? Sulitkah hidup

jika kita ditakdirkan bersendiri di muka bumi ini?


Kini baru saya sedari ada sesuatu yang harus saya cintai dan kini saya

ketahui curahan cinta ini untuk siapa. Setelah penuh liku yang dilalui

yang menjanjikan kepalsuan, saya sedari bahawa indahnya mencintai

ALLAH S.W.T dan Rasulullah s.a.w. Mengenali baginda s.a.w dan

perjuangannya melalui naskhah hakiki, telah menerbitkan cinta saya

kepada junjungan besar itu. Betapa saya amat merindui baginda

sehingga tidak mampu diucapkan dengan kata-kata.

Adakalanya, saya berasa sangat rindu kepada baginda dan alangkah

indahnya jika baginda s.a.w masih ada bersama. Saya pasti ingin

berusaha berada hampir di sisi baginda s.a.w. Melihat senyumannya

melalui kejauhan juga tidak kira nyata atau mimpi, pasti akan

menenggelamkan saya dalam lautan kebahagiaan dan menghapuskan

parut dan luka di hati.

Mencintai ALLAH S.W.T dan Rasulullah s.a.w adalah perasaan

terhebat yang harus kita cari. Menggali cinta ini di sisa kehidupan

adalah jauh membuahkan kebahagiaan dari terus mendamba cinta si

Adam yang entahkan suci entahkan tidak. Indahnya akhlak Rasulullah

s.a.w tidak dapat digambarkan dan saya sering berasa bertuahnya

Sayidatina Siti Khadijah, Siti Aisyah dan isterinya yang lain kerana

dapat mendekati baginda s.a.w.

Memikirkan mencari pasangan yang berakhlak seperti Rasulullah

s.a.w ternyata sangat sukar pada zaman yang sangat pantas ini. Malah

mungkin sudah pupus di muka bumi ini. Cukuplah pada saya andai

seseorang lelaki mementingkan tiga perkara di dalam hidupnya iaitu

solat, puasa dan zakat seperti termaktub di dalam al-Quran. Insya-

ALLAH, saya percaya sekiranya lelaki di dunia ini mengambil berat

akan tiga perkara ini, maka dia mempunyai asas yang agak kukuh dan

boleh ditajamkan sebagai khalifah besar atau khalifah kecil. Akan saya

ingat sampai bila-bila hadis Rasulullah s.a.w di bawah ini sebagai

kekuatan diri.

Daripada Abu Hurairah r.a, dia berkata bahawasanya Rasulullah s.a.w

bersabda, “Demi zat ALLAH yang jiwaku ada di dalam genggaman

kekuasaan-NYA, tidaklah seseorang daripada anda semua itu

sempurna keimanannya, sehingga saya lebih disukai yakni lebih

dicintai untuknya daripada ayahnya sendiri dan anaknya.”


Wahai si manis,

Walaupun kita berbeza; dikau melayari sendiri bahteramu penuh

kepayahan dan pelayaranku dikemudi oleh nakhoda gagah perkasa,

namun kita menuju destinasi yang sama, negeri yang abadi. Kelak kita

bukan kita lagi wanita dunia yang penuh noda, sarat dosa. Di dunia

abadi itu nanti, kita akan disarungkan pakaian sutera hijau, penuh

kelembutan, penuh kemewahan yang tidak terlihat dek mata dan tidak

terlintas difi kiran. Tiadakah keinginan di hatimu, wahai si manis untuk

berdampingan dengan puteri Rasulullah s.a.w, Sayidatina Fatimah r.a?

Beliaulah yang akan mengetuai kita semua, para bidadari syurga!

Masih ingatkah pesanan terdahulu yang meminta kalian bersyukur

dengan apa yang dimiliki sekarang? ALLAH tidak pernah dan tidak

akan menjadikan sesuatu takdir itu dengan sia-sia. Cuma penerimaan

kita terhadap takdir-NYA itulah yang berbeza atas sebab-sebab yang

hanya DIA sahaja yang Maha Memahami. Ia begitu sukar diluahkan.

Mungkin ada yang tidak dapat menerima alasan yang diberi. Lantas

kita dikeji. Dikritik. Lalu, hanya kepada-NYA kita memohon kekuatan

untuk terus bertahan, agar tidak terus tersungkur dalam kekecewaan.

Agar kekecewaan yang dialami tidak tersasar dalam lingkungan redha

ALLAH. Berat. Kami (isteri) dimiliki kerana ALLAH ingin menguji kami.

Kalian bersendiri juga atas landasan yang sama. Kita semua diuji-

NYA. Kami akui keluhan kalian. Memiliki suami adalah impian setiap

wanita. Itulah naluri yang dicipta sejak azali.

Kami mendambakan seorang suami persis Nabi Muhammad s.a.w,

walau iman kami sendiri tidaklah sekukuh mereka. Kami sedar

kekurangan itu. Kami berharap suami dapat membimbing ke jalan

yang lebih diredhai. Bukan ketampanan yang dicari. Duit juga bukan

penentu kebahagiaan. Nama dan kedudukan juga tidak menjamin

kerukunan rumah tangga.

Iman, takwa dan amal soleh menjadi impian. Kesetiaan amat

diharapkan. Sikap jujur kunci kedamaian. Namun, ALLAH Maha

Merancang. Tidak semua impian dipenuhi. Banyak halangan menuju

cinta abadi, cinta ILAHI. Suami itu hanya ‘alat’ untuk mencari cinta

hakiki tersebut. Namun, sebagai manusia biasa yang lemah, kami

sering menyalahgunakan ‘alat’ itu.

Kami menyayangi suami kerana cinta dan nafsu. Sering tidak

terjumpakan ALLAH dalam proses menyayangi itu. Apa yang kami

lakukan sering kerana suami, niat kami tersasar. Lantas, apabila diuji,

kami mengeluh kecewa yang amat mendalam. Luka kami sangat

parah. Andai dari awal lagi kami meletakkan ALLAH mengatasi semua

yang ada, tentu ujian yang diberi kami iringi dengan ucapan “Hanya

daripada ALLAH kami datang dan kepada- NYA jualah kami kembali.”

Kami pasti memahami bahawa suami itu hanya pinjaman dan bukan

milik kami secara mutlak. Namun, selalunya kami terlewat. Kami terlalu

bergantung harap kepada suami dan bukan kepada-NYA. Itulah

hakikat pahit yang dihadapi. Perasaan sayang kepada suami

mengatasi cinta kami pada ALLAH.

Apabila kecewa terhadap suami, kami lupa jasa-jasa mereka. Kami

ungkit segalanya. Maka kami telah mendustakan nikmat bersuami

yang telah ALLAH anugerahkan. Sungguh sulit untuk menyusun kata-

kata ini. Antara kelemahan kami sebagai isteri dan rasa kehambaan

kami terhadap-NYA.

Kami sedar, kami harus mengagungkan ALLAH, namun sifat

kewanitaan ini sangat sukar dibendung. Kami kalah, wahai bidadari

bersendiri...

Maka, dengan keadaan kalian yang bersendiri, tanpa suami,

sebenarnya lebih mudah bagi kalian mencintai ALLAH sepenuh jiwa

kalian. Mungkin kalian akan berkata, ah, mudahnya kesimpulan kami.

Kalian juga mungkin akan terus berkata, kami tidak merasakan apa

yang kalian tanggung.

Benar, wahai bidadari bersendiri, kami mungkin tidak memahami

sepenuhnya gelodak jiwa kalian, namun apabila difikirkan dengan

ujian-ujian hebat daripada-NYA, terfikir juga kami untuk kembali

bersendiri. Itulah pilihan sebahagian kami. Tewas dengan ujian

kehidupan berumah tangga. Hilang ketabahan dan kesabaran. Timbul

pula kesedihan dan kekesalan yang berpanjangan.

Hidup ini sayang, penuh ujian. Kalian diuji bersendirian, kami diuji

berteman. Ujian kita tiada persamaan namun pengakhirannya itulah

yang akan dinilai TUHAN. Ingatkah kalian peringatan-NYA, tiada teruji

iman seseorang andai belum diduga. Jangan dikata dikau beriman,

andai ditewas perasaan, dihina keyakinan, disisih ketakwaan (Al-

Ankabut :

2). Wanita beriman apabila diuji, akan kembalikan hati dan keyakinan

kepada Pemberi ujian. Ketika itu dia akan berserah penuh

pergantungan dan tentu berhikmah ujian yang datang. Jika tidak di

dunia sini, pasti dunia sana menanti penuh simpati, penuh janji.

Suami anugerah TUHAN. Wanita pula perlu berteman. Pingin layanan.

Damba kehangatan. Kami memperolehinya, sayang. Nikmat dunia

telah ALLAH anugerahkan kepada kami. Hijab rindu kami disingkap

tangan sasa mereka yang bernama suami. Sunyi hati kami diriuhi

dengan nyanyian cinta lelaki.

Dingin malam kami dihangatkan dengan dakapan mereka. Buruk rajuk

kami dipujuk, panjang muncung kami tahan disinggung, leteran dan

bebelan kami disimpan di hati. Maka nikmat TUHAN manakah yang

perlu dustakan lagi..?

Namun, cerita yang indah itu, tidaklah selalu indah. Ada khabar buruk

daripada Rasulullah s.a.w. Dengarnya, kamilah golongan yang

berpotensi memenuhi neraka itu kerana untuk pengetahuan kalian,

wanita memang mudah mengeluh dan melupakan kebaikan suami

(nauzubillah). Mulut ini mudah benar meluahkan ketidakpuasan hati

kepada rakan dan keluarga. Kami tidak sabar dengan ujian kerenah

suami, maka kami selalu kalah...

Kami mengaku bukanlah mudah menjadi isteri solehah. Hati kena

selalu tabah, jiwa tenang perlu dikerah. Harus selalu lapangkan dada,

menerima suami seadanya dia. Realiti masyarakat Melayu kita, suami

dijaga penuh setia.

Memang naluri kita pula, jujur berkhidmat kerana cinta. Namun kami

terlupa, khidmat sepatutnya diberi bukanlah kerana cinta semata tetapi

yang utama, kerana mencari redha Maha Pencipta.

Di situlah kesilapan bermula, maka apabila kecewa, ujian melanda

kami berputus asa. Mengungkit apa yang telah diberikan,

mengharamkan apa telah kami halalkan dan meminta kembali apa

yang telah diberi. Suami kami juga insan biasa. Suami kami tidak

hidup pada zaman Rasulullah s.a.w. Maka dengan itulah iman mereka

begitu goyah.

Kami terima mereka seadanya kerana cinta. Kekurangan mereka

kami tampungi. Kelemahan mereka kami tonggaki. Kecacatan mereka

kami tutupi. Aib mereka kami sembunyi. Kami juga berharap yang

sama daripada mereka. Kami juga tidak sesolehah isteri-isteri

Rasulullah s.a.w. Namun kami dan suami saling lengkap-melengkapi.

Sabar itu wajib. Tabah itu harus. Ada masa suami kami diduga.

Dugaan mereka adalah seputar kesetiaan sebagai suami. Mereka

selalu kalah kepada wanita seperti kalian. Bertepuk sebelah tangan

tentu tiada bunyinya. Tetapi kalian bertepuk tangan bersama-sama

suami

kami, yang kami harap setia selamanya. Namun, inilah yang dikatakan

ujian dunia. Bagi yang tiada kekuatan, perpisahan - lah penyudahnya.

Bahtera yang dilayari bersama musnah karam. Bukan mudah bagi

kami untuk menerima kalian. Bukan mudah... Andai bersisa iman di

dada, mungkin kami mampu bertahan. Namun, kekuatan untuk kekal

dalam bahtera yang dilanda badai, datang daripada Yang Maha

Menguji.

Benar kata sebahagian kita, kalau kuasa cerai di tangan kami, tentu

telah habis talak kami lafazkan. ALLAH Maha Bijaksana, DIA tidak

melepaskan kuasa itu di tangan kami bahkan menyerahkannya

kepada para suami. Suami yang bijaksana akan memendam dalam-

dalam, kejap-kejap dan kemas-kemas serta menelan bulat-bulat

segala bebelan dan cacian kami. Kami beruntung jika dianugerahkan

suami sedemikian.

Kami mengaku kelemahan sendiri. Kami mudah mengalah pada

emosi. Suami yang pendek akal akan mengalah juga, mengalah

dengan keegoan mereka. Lantas, kami ditinggal dan dicampak begitu

sahaja lalu diceraikan melalui pesanan ringkas. Mohon dijauhkan

ALLAH. Kami doakan kalian tidak mendapat jodoh begitu. Kami

doakan kalian akan menjadi suri kepada lelaki yang beriman,

bertakwa dan beramal soleh. Mudah-mudahan...

Namun, kami ingin bertanya, adakah kalian sanggup hidup

bertemankan lelaki hidung belang? Kaki judi? Hantu nombor ekor?

Buaya darat? Si Panas baran? Andai ‘terperangkap’ dengan suami

begitu, kami berusaha membawa mereka kembali ke pangkal jalan

kerana kasih kami bertahan.

Dek cinta, kami setia. Namun, jika masih hampa setelah berusaha,

kami sanggup menebalkan muka ke muka pengadilan, memohon

bantuan. Maka, berhati-hatilah sayang, jangan diturut nafsu di kalbu,

badan merana, jiwa sengsara, hidup derita. Kalian masih boleh

bahagia walau tidak bertemankan suami.

Itu kisah tentang suami. Belum lagi bercerita tentang permata-permata

hati. Benar, setelah menjadi isteri, kami kepinginkan cahaya mata.

Anak juga anugerah ALLAH namun tidak semua dianugerahkan apa

yang kami ingini. Dengan izin-NYA, setelah sembilan bulan berlalu,

lahirlah permata yang dijaga di dalam rahim sebaik mungkin.

Namun, bagi yang rahimnya tidak diizinkan ALLAH untuk

mengandungkan zuriat, terpaksalah redha dengan ketentuan itu.

Ramai yang mencuba pelbagai cara, moden atau tradisional hingga

sanggup berhabis ribuan ringgit. Namun akhirnya mereka sedar

bahawa dugaan ALLAH begitu mahal. Itulah ketentuan-NYA yang tidak

boleh dipertikaikan.

Amanah membesarkan dan mendidik anak adalah satu tugas berat.

Sungguh, ia bukan kerja santai. Sedari dalam kandungan lagi, anak

perlu dibelai. Sesudah lahirnya, tugas menjaga anak kecil menjadi

lebih rumit. Mungkin kalian geram melihat pipi gebu anak kami. Mulus

kulitnya. Hening matanya.

Hakikatnya, apabila anak kecil ini demam atau jatuh sakit, kamilah

yang bersengkang mata sepanjang malam. Naluri keibuan yang kuat

hanya meminta suami memandang kami penuh ihsan. Itu sahaja. Kami

tidak menuntut mereka berjaga malam, bersengkang mata. Naluri ibu

sejati. Tidak akan kami ungkit selamanya.

Anak yang bersekolah berbeza pula ceritanya. Sekolah rendah dengan

cerita penuh suci. Sekolah menengah dengan cerita penuh teka-teki.

Kamilah yang mendengarnya. Walau penat dan sesekali suara

diangkat tinggi, tangan ringan hinggap di sana-sini, namun akhirnya

kami kesali dan ringankan sesalan dengan menganggap kami sedang

mendidik anak agar menjadi seorang manusia.

Apabila mereka meningkat dewasa, kudrat kami pula lelah merangkak

usia tua. Impian kami berubah tetapi kekal kepada inginkan mereka

terus menjadi manusia yang cinta ALLAH, kasihkan Rasulullah. Moga

dalam keredhaan ALLAH.

Begitulah serba ringkas ujian kami, bidadari yang dimiliki. Wahai si

manis, kami ulangi sekali lagi, ujian di dunia ini hanya untuk

menentukan siapakah kita di akhirat nanti. Jika kalian tabah dan redha

dengan ujian bersendiri di dunia sini, percayalah di dunia sana kalian

tentu akan dimiliki oleh suami yang menjadi impian sebegitu lama.

Maka, janganlah bersedih dan berputus asa. Berbahagialah dengan

kasih sayang ALLAH dan cinta rindu Rasulullah. Itu sudah mencukupi...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan